Thursday, September 12, 2013

ULAMA BERADU, UMAT KELIRU - USTAZ PAHROL

12 Sep
 

Jika orang awam gagal ‘menguruskan perbezaan’, masih tidak mengapa. Itu masih boleh diterima. Ini kerana orang awam kebanyakannya masih kurang ilmu. Selain kurang cerdik, orang awam juga kurang terdidik. Justeru, emosi yang panas acap kali mendahului fikiran yang bernas dalam menghadapi perbezaan pendapat atau pandangan. Namun, apabila para ulama yang sewajar sudah cerdik dan terdidik juga terjebak dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan, ini sesungguhnya satu tragedi yang sangat menyedihkan.


Sesungguhnya, ini adalah salah satu cabaran untuk ahli-ahli agama masakini. Cabaran yang boleh merobek kewibawaan ilmu dan ketinggian peribadi mereka. Betapa sekarang kita dapat melihat ulama sesama ulama telah tega bertelagah dan bertikam lidah. Yang dijadikan senjata bukan ilmu dan fakta, tetapi sindiran dan tempelakkan yang sangat menjelikkan. Ada di antaranya yang berani mencabar pihak lawan untuk berdebat bagai ayam sabung yang berkokok dengan sombong. Ada yang mencemik, mencebir dan senyum sinis ketika membahaskan pandangan pihak lain.


Tidak salah untuk berbeza, tetapi biarlah dengan nada dan nuansa yang mengekalkan kasih sayang dan silaturahim. Apa gunanya kelulusan yang berjela-jela, dengan gelaran yang beraneka rupa, tetapi adab dan akhlak tidak terjaga. Pada hal, seorang ulama silam, Ibnu Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu. “


Jika benar yang dicari ialah kebenaran, masakan ada sikap sombong yang menonjol. Keangkuhan itu boleh dibaca melalui sikap, tulisan dan kata-kata. Cabar sana, perleceh sini. Pelbagai label juga telah dilontarkan… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan ‘salafi tegar’. Subhanallah, lupakah pada pesan Ibnu Umar ini : “Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.”


Timbul pertanyaan, apa benar pergeseran ini disebabkan oleh perbezaan ilmu, hujah dan prinsip? Atau sebab sebenar tidak lain hanya sifat hasad dengki. Berbeza bukan kerana ilmu atau amalan, tetapi kerana tidak senang melihat yang di sebelah ‘sana’ lebih ramai pengikutnya, lebih banyak hartanya dan lebih tersohor namanya. Alasan perbezaan ilmu cuma mainan bibir. Apa yang berkecamuk di dalam hati hanyalah sifat hasad dengki. wallahua’lam.


Harapan kita, para ulama janganlah sekali-kali merelakan diri dijadikan ‘ayam sabung’ oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, hukum agama akan dijadikan modal untuk mengaut keuntungan duniawi. Ulama menyerang ulama umpama dua ekor gajah yang berjuang… akibatnya umat akan jadi seperti pelanduk yang mati di tengah.


Broker kuasa dan harta akan tertawa apabila ulama merelakan diri mereka digunakan sebagai batang kayu pada kapak untuk menebang kayu. Bukankah ulama adalah pewaris para nabi? Maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sendiri pun sudah diperalatkan oleh yang punya harta dan kuasa? Jadi tidak hairan jika ada pihak secara sinins menyindir, satu fatwa berapa harganya?


Pergeseran di kalangan ulama bukan sahaja mengelirukan, bahkan merugikan… Bayangkan seseorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah oleh mereka yang dianggap ulama dengan kata, “Zikir semacam itu bid’ah”. Bagaimana pula reaksi seorang pelajar yang sekian lama belajar ilmu Tauhid di sekolahnya menerusi pendekatan Tauhid Rububiyah dan Uluhiyyah dianggap sesat oleh ulama A? Manakala ada pula pelajar yang mengambil pendekatan belajar Tauhid mengikut pendekatan ‘Sifat Dua puluh’ dianggap sesat oleh ulama B?


Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah daripada solat berjemaah dengan imam yang dakwanya ’musyabbihah’ dan ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan wasilah dan istighasah.


Apa nanti akan berlaku anak dara dari kelompok ‘sifat dua puluh’ akan menolak untuk dijodohkan dengan pemuda yang datang daripada golongan ‘tauhid uluhiyah dan rububuyah? Bagaimana pula dengan sembelihan, kenduri-kendara dan aktiviti-aktiviti muamalat antara kelompok sufi dan salafi? Sedangkan jika diteliti, semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah. Masih beriman dengan Allah dan RasulNya.


Bukan sahaja mereka yang bertelagah ini duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja, malah ada kalanya terdiri daripada sanak saudara sendiri. Musibah dan nikmat mereka masih saling berkaitan. Kenduri kahwin, sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan. Alangkah baiknya jika pergeseran ini mampu didamaikan. Berbeza tidak semestinya menimbulkan sengketa.


Teladanilah sifat lapang dada Imam Safie rhm yang pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “ Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak tanpa menafikan keyakinannya terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.


Justeru, sekalipun ada masanya para ulama zaman dahulu berbeza pendapat, namun masyarakat banyak mendapat manfaaat hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan mereka. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. ‘Pertarungan ilmu’ di dalam gelanggang adab ini sangat bermanfat dalam usaha membudayakan ilmu. Pada zaman itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarakat.


Berbeza pendapat di kalangan ulama tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah dan sunatullah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap ulama dalam menghadapi perbezaan. Sikap negatif hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan. Pertikaian yang dulu-dulu, yang hakikatnya telahun istirehat pada titik ‘kami bersetuju untuk tidak bersetuju’ telah dibongkar kembali. Kononnya untuk mencari kebenaran. Ironinya, hasilnya, masih yang itu-itu juga.


Bagi yang sangat sayang Imam Safie, mendakwa sangat berpegang teguh dengan mazhabnya, lihat adab Imam yang hebat ini ketika beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik. Dengan penuh rasa sayang beliau berkata, “ apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.” Apa kurangnya dengan keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie, yang walaupun mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan gurunya namun masih mengakui, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.”


Perbezaan dikalangan para ulama silam benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu dan rasa yang tulus ikhlas kerana Allah semata. Lalu Allah menjaga hati mereka… tetap punya rasa cinta walaupun berbeza. Berbeza benar keadaannya dengan ahli agama masa kini. Kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan mereka. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain.


Sesungguhnya, umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan ulama yang luas ilmunya, tetapi juga jujur lagi amanah sikapnya. Ulama yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak. Ulama yang bukan hanya mempunyai kelulusan tetapi punya ketulusan. Yang hebat dalam pengajian dan pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu, malah akhlak para nabi.

Ulama perlu bebas dari gamitan harta dan belitan kuasa. Jika ada perbezaan dikalangan mereka, apa salahnya bertemu empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan penuh tenang dan dalam keadaan tertutup. Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Lalu, seorang ulama sudah semestinya bersikap prihatin, simpati dan empati itu ketika menghadapi perbezaan dengan ulama lain!

No comments: