6 JUN — Tan Sri,
Saya berasa terpanggil untuk menulis bagi pihak diri dan ahli
keluarga saya yang bimbangkan keselamatan mereka di tengah-tengah
pelbagai kes jenayah negeri yang semakin menjadi-jadi seminggu dua ini.
Saya percaya majoriti rakyat Malaysia hari ini turut berasa terancam
dengan pelbagai kejadian jenayah malah tidak kurang yang pernah menjadi
mangsa jenayah.
Peningkatan kadar jenayah yang semakin membimbangkan mutakhir ini
telah menyaksikan pelbagai inisiatif dan langkah keselamatan diambil
oleh pelbagai lapisan masyarakat bagi melindungi diri dan ahli keluarga
mereka daripada ancaman jenayah.
Saban hari kita melihat percambahan komuniti berpagar dan kawalan
keselamatan 24 jam di kawasan-kawasan perumahan, selain pelbagai kempen
keselamatan diri terutama bagi wanita yang sering menjadi mangsa jenayah
seperti ragut.
Dalam keadaan kos hidup yang semakin melonjak, kami terpaksa
berbelanja lebih untuk memastikan keselamatan kami dengan mengupah
pengawal keselamatan, memasang penggera di rumah dan kereta, belajar
seni mempertahankan diri dan membeli pelbagai peralatan mencegah
jenayah.
Kami mengalu-alukan usaha-usaha memerangi jenayah oleh pelbagai peringkat komuniti, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil.
Ia merupakan langkah positif untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas jenayah.
Namun, ingin ditegaskan di sini bahawa tugas ini adalah tugas utama polis!
Senario di atas secara tidak langsung menyerlahkan ketidakupayaan,
kelemahan malah kegagalan pihak PDRM dalam menangani jenayah yang
semakin menjadi-jadi.
Kami amat kesal melihat kelemahan pihak polis dalam menjalankan
amanah mereka sebagai pasukan keselamatan sehingga menyebabkan kami
rakyat kebanyakan terpaksa menjaga keselamatan sendiri tanpa perhatian
serius daripada pasukan polis, sedangkan kami sebagai pembayar cukai
berhak mendapat jaminan keselamatan daripada pasuka polis.
Tan Sri,
Menurut laman web PDRM, Polis Diraja Malaysia terdiri daripada 102,037 orang pegawai dan anggota.
Laman web itu antara lain menyatakan bahawa “keanggotaan ini
mencerminkan kepelbagaian penugasan yang dijalankan oleh PDRM, dari
tugas am yang menjalankan tugas tradisional kepolisan dan sentiasa
berdampingan dengan rakyat. Dalam melaksanakan amanah serta
tanggungjawab yang disandarkan oleh rakyat, PDRM dibantu oleh kumpulan
sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis
Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Kumpulan ini memainkan peranan
yang penting dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara.”
Visi PDRM pula ialah menjadi “agensi peneraju dalam menjadikan
Malaysia negara yang selamat, aman dan sejahtera manakala misi mereka
ialah untuk menyediakan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam
melindungi negara dan menjamin persekitaran yang selamat bagi
masyarakat.” Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa pada hakikatnya lebih
banyak yang harus dilakukan oleh pihak polis di Malaysia untuk mencapai
visi dan misinya.
Persoalan utama yang wajib ditanya kepada pihak polis ialah, dengan
sumber yang ada, apa yang telah dilakukan oleh pihak polis dalam
memerangi jenayah dan memastikan keselamatan rakyat?
Ya kami sedar ini ialah soalan yang naif, tetapi mengapa kami sebagai
orang awam sentiasa berasa terancam dan takut untuk melakukan aktiviti
harian tidak kira siang dan malam?
Mengapa kami berasa takut walapun berada di dalam rumah?
Lebih penting lagi, mengapa kami yang harus lebih berhati-hati daripada menjadi mangsa jenayah?
Bukankah penjenayah yang harus lebih berhati-hati kerana mereka adalah pelaku jenayah yang sebenar?
Adakah ini disebabkan kelemahan pihak polis sekaligus gagal menimbulkan rasa takut di kalangan penjenayah?
Kami percaya bahawa pasukan polis yang profesional harus menggerunkan penjenayah.
Bukankah pihak polis, dan bukannya orang awam, yang mempunyai kuasa
di bawah peruntukan undang-undang untuk memerangi jenayah, mewujudkan
suasana selamat dan mengambil tindakan terhadap penjenayah seperti yang
dijanjikan dalam misi dan visinya?
Adakah pihak polis benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka atau
sebaliknya? Kredibiliti pihak polis dalam membanteras jenayah harus
dipersoalkan memandangkan mereka gagal menimbulkan rasa selamat di
kalangan orang awam apatah lagi meyakinkan masyarakat bahawa pihak polis
boleh dipercayai dalam membasmi kegiatan jenayah. Sebaliknya kami
sering dikejutkan dengan pelbagai insiden penyalahgunaan kuasa, rasuah
dan keganasan pihak polis (kematian dalam tahanan polis dan kekerasan
dalam mengendalikan perhimpunan aman adalah antara contoh popular).
Hal ini diburukkan lagi dengan sikap pasukan polis yang sering
menidakkan pelbagai statistik kadar jenayah di samping kelewatan mereka
bertindak dalam kes-kes jenayah dibandingkan dengan kes-kes melibatkan
ahli politik pembangkang.
Sekiranya sumber dan keupayaan pihak polis diupayakan sepenuhnya
untuk memerangi jenayah dan bukannya menidakkan statistik atau
berpolitik, tidak mustahil kadar jenayah dapat dikurangkan dan suasana
yang lebih selamat dapat diwujudkan.
Apa pun statistik jenayah yang sebenar, yang penting ialah kami
sebagai orang awam berasa lebih selamat dan tidak lagi menjadi mangsa
jenayah.
Sikap tidak profesional pihak polis dalam mengendalikan sebarang
aduan dan laporan berkaitan jenayah tidak kira jenayah serius atau
jalanan turut melunturkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan pihak
polis.
Contohnya, tiada sebarang tindakan susulan diambil ke atas kebanyakan aduan tentang kes ragut dan kebanyakan kes tidak diselesaikan dan tiada sesiapa yang dibawa ke muka pengadilan.
Laporan polis hanyalah untuk rekod tanpa sebarang tindakan konkrit.
Tidak kurang juga pelbagai spekulasi tentang gejala rasuah di kalangan
anggota polis yang telah membantutkan usaha-usaha mencegah jenayah.
Tan Sri,
Sehingga kerajaan benar-benar berani untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), kami akan terus mendesak pasukan polis sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat dengan telus, cekap, profesional dan tidak berpihak.
Kami percaya pihak polis lebih arif tentang langkah-langkah yang
perlu diambil untuk meningkatkan keselamatan rakyat. Apa pun langkah
yang akan diambil, keselamatan rakyat harus menjadi keutamaan dan kami
tidak berasa takut lagi untuk tinggal di negara ini.
Kami merayu agar fokus pihak polis ditumpukan sepenuhnya untuk menjaga keselamatan rakyat dan membanteras jenayah.
Kami berharap agar kredibiliti pasukan polis dikembalikan dengan
memperkasakan sebarang usaha memerangi jenayah tanpa sebarang campur
tangan politik dan korupsi.
Kami sudah punya cukup ahli politik, tidak perlukan PDRM untuk berpolitik di negara ini!
No comments:
Post a Comment