DARIPADA HIDUP BERCERMINKAN BANGKAI - IBRAHIM LIBYA
Ibrahim Libya: "Daripada hidup bercerminkan bangkai ...". Ikuti cebisan kisah peristiwa bersejarah Memali
Asap
putih menyusur di celah dedaun pokok nan rimbun itu. Kepulan yang naik
menjulang langit, menutupi sebahagian hadapan rumah papan. Kiri kanan
tingkap terbuka lebar, memuntahkan haba panas yang mencengkam rasa.
Pedih mata, tak terkata hingga nafas tercungap-cungap dada.
Asakan
gas bertubi-tubi terus dilemparkan dan dihalakan ke arah susuk-susuk
tubuh yang sudah tidak keruan. Asalnya, mereka sekadar terpacak di balik
pagar buluh, di ruang laman. Sebuah kereta perisai, gah berada
sejengkal dari mereka sambil menghalakan muncungnya tepat kepada mangsa.
Keributan
dan kekalutan dasyat pagi itu, disaksikan fajar yang baru terbit di
alis awan dengan iringan sejumlah ketumbukan lebih 3,000 anggota
keselamatan yang mengepung kawasan. Orang kampung, hanya mampu mengetap
bibir sambil melihat dengan pandangan yang berkaca.
Tidak lama
kemudian, tragedi menghayat hati pun memulakan kisah lukanya. Saat itu,
sebiji kelongsong peluru gas pemedih mata menghentak buju dahi gadis
comel Naziah Hassan, 12 yang berada di situ. Memercik darah merah
menyala dan dia akhirnya rebah serta-merta.
Shafie, seorang guru
yang melihat kelibat Naziah yang jatuh ke tanah, sudah tidak dapat
menahan pilu, lalu membungkam rasa geram yang sudah membuak-buak akibat
kecelakaan itu. Dia langsung melompat pagar lalu meluru ke arah pasukan
yang sudah siap siaga.
Dia berhenti lalu melaungkan takbir,
sambil menghunus pedang. Belum sempat, nafas dihidu, dua das tembakan
tepat mengena tubuhnya, yang kemudiannya longlai menyembah bumi Memali.
Tubuhnya, syahid pertama dipanggil Illahi.
Kemudian, di ruang tingkat
atas rumah yang masih bermain dengan asap dan bau busuk gas puaka,
Abdullah Che Soh sedang bertahan, cuba mengangkat tangan untuk
meleraikan keadaan dan minta tidak diapa-apakan. Beliau mengepung dua
anggota keselamatan supaya menghentikan tembakan.
Tersalah atur,
Abdullah yang dikenali sebagai Pak Tam dihujani peluru tak bermata.
Bukan satu tetapi tujuh. Dua tembakan di dada, dua di lengan dan dua di
telapak tangan. Yang terakhir tertusuk di kiri pinggangnya, yang
membuatkan Pak teh mula berpinar-pinar dan tersungkur. Darahnya basah di
seluruh badan.
Ketika sekujur tubuhnya berada di laman, Pak Tam
tak mampu membuka kelopak matanya yang sudah mula direnjis renyai-renyai
hujan, yang berkabung mendung.Darahnya mengalir laju, disirami gerimis
pagi itu.
Abdul Rahim Waboh yang berada di belakang rumah terpaksa meniarap, lantaran tembakan
bersimpang-siur mencari nyawa. Dia asalnya mahu ke kebun getah sejurus
mendengar kuliah subuh Ustaz Ibrahim Libya, terpinga-pinga sambil
menyelamatkan diri.
Lain pula dengan Azmi Haji Salim dan Mat
Ramli Che Mit, masing-masing berhati kental berhadapan dengan pasukan
keselamatan di batas sawah.
Azmi dengan hanya berbekalkan
buah-buah guli sekarung yang tersisip di pinggangnya tidak teragak-agak
melastik anggota yang melepaskan tembakan. Kena ataupun tidak, dia tidak
peduli sehinggalah muncung senapang rapat ke mukanya, tanda perlu
menyerah diri serta-merta.
Manakala Mat Ramli yang pada mulanya
cuba menghalang anggota keselamatan daripada mara ke hujung jalan rumah
Ustaz Ibrahim, terpaksa meredah hutan berundur diri.
Kemudian
anak Azmi dikenali Mohd Zahir,13 yang menyusup dengan guni basah
bergerak seiring dengan anggota keselamatan, akhirnya ditangkap sambil
dihayun penumbuk ke mukanya sehingga berdarah. Kemudian ceritanya, dia
dihumban ke dalam trak.
Di celah semak dan timbunan kayu, seorang
anak muda Muhammad Ahoiri memerhati dari jauh. Dia sudah tidak dapat
menahan sebak, mengalir air mata semahunya. Di pandanganya terlihat ayah
dan adiknya diseret ke penjuru jalan.
Kemudian dia melihat beberapa
sahabatnya seorang demi seorang sujud tak bernyawa lagi. Antara yang
jelas ialah Razki dan Ghazali yang sebentar tadi baru sahaja mengunyah
sarapan pagi dengannya di perdu pisang berhampiran rumah Ibrahim.
Masing-masing
menjamah nasi goreng, sambil menitip nasihat akidah dan tauhid kepada
Ahoiri. "Niat dan buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, dan jika mati
kita tidak sia-sia...insya-allah syahid hendaknya."
Kata-kata mereka
berdua, terakam kemas diingatan dan kini, mereka mendahuluinya menemui
tuhan. Ahoiri, tidak mampu lagi mengesat air matanya yang sudah
menumpah.
Di anjung rumah, mula kedengaran esakan tangisan yang
memilukan. Anak-anak kecil sedang meratapi dan memeluk tubuh ayah mereka
nan kaku. Si-ibu sudah tak terkata apa-apa, lantas mengucup dahi insan
yang dicintai, merelakan pergi dengan air mata basah di pipi.
Babak
sayu itu tidak terhenti di situ. Selagi batang tubuh Ustaz Ibrahim
Libya tidak menyerahkan diri, selagi itulah muntahan senjata dan
rempuhan demi rempuhan terus berlaku.
Ibrahim yang ketika itu
berada di sebalik tiang berhampiran dinding rumah, tidak berganjak
dengan nawaitu pendiriannya yang kejap dan tegas. Tak akan menawar dan
menggadaikan diri untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik bergalang tanah," kata-kata hikmat yang dingati sebilangan besar anak muridnya.
Ibrahim
makin tidak dapat menerima alasan, beliau dianggap penjenayah,
pengganas dan guru ajaran sesat. Selama ini, kerjanya dan amalnya
semata-mata mentauhidkan Allah. Dan subuh tadi sebelum tragedi ini,
selesai solat beliau menyampaikan kuliah akidah.
Serangan
seterusnya menyasarkan Ibrahim tanpa amaran. Dua peluru daripada anggota
keselamatan pantas meluru memamah dada dan perut Ibrahim. Percikan
darah mula menyimbah. Di tengah ruang itu, anak bongsu Ibrahim,
Norsyuhada sudah lama rebah dek kerana pengsan terhidu gas pemedih mata.
Kemudian
tubuh Ibrahim diusung ke penjuru dapur rumah. Di pangkuan isterinya
Solehah, beliau tidak henti-henti menyebut kalimah Allah dan akhinya
doanya diserap langit nan tinggi, gugur syahid mengadap Illahi.
Beliau
kembali menemui tuhannya bersama 13 sahabatnya yang lain, yang turut
menyembah bumi. Dan hari itu, tanggal 19 November 1985, maka sejarah
hitam penuh nanah terpahat dalam lipatan penuh kelam. Awan dingin
memayungi kampung Memali dengan rembesan air yang senada tangisan
makhluk di bawahnya.
Kemudian kisah seharian itu melabuhkan tirainya pada petang itu.
Gelimpangan
jenazah kemudiannya diangkat. Ramai digari dan disusun rapi berarak ke
atas trak. Kemudian disumbat ke penjara di serata tempat. Yang cedera
dan darah masih merah pekat, diikat dan dibawa ke hospital untuk
dirawat. Kampung itu masih dikepung dan di bawah perintah darurat.
Dua
hari kemudian, Almarhum Ustaz Fadzil Noor Presiden PAS ketika itu
bersama pendokong perjuangan Islam yang lain sudah bersiap sedia
menguruskan jenazah yang berada di rumah mayat sejak peristiwa pedih
itu. Tatkala mengangkat satu persatu jenazah itu,daripada bilik simpanan
beku, terasa hangatnya lagi darah yang mengalir.
Dengan van
buruk
Dan 13 syuhada
itu kemudiannya dilayan selayaknya seorang syuhada, disimpan dan
dikebumikan dalam keadaan darah masih merah mengalir di tubuh, menjadi
saksi kepada Pencipta Langit dan Bumi. Salah seorang syuhada pula
dikebumikan di kaki gunung di Alor Melintang.
Tanah kubur Pasir
Panjang kemudian memeluk erat pejuang Memali itu yang antaranya terdiri
daripada seorang guru, ustaz, enam penoreh getah, pegawai agensi
kerajaan, pemandu teksi, penjual buah, pekebun dan bekerja sendiri.
Lalu, hari-hari kemudiannya menjadi sepi dan menyiat hati sanubari.
Maka
lengkaplah misi. Biar apapun alasan, yang penting operasi mereka
selesai. Sebenarnya kisah tragis mengorbankan banyak nyawa tak berdosa,
lantaran arahan caca marba dalam Operasi Hapus yang dipanggil mereka.
Kata
pihak atasan, menggempur kubu pengganas komunis. Kemudian berlaku
sebaliknya. Yang di kepung, rumah orang kampung. Kemudian cerita ditukar
lagi. Kata mereka menangkap penjenayah berbahaya, pengganas dan guru
ajaran sesat bernama Ibrahim Libya.
Hasil daripada kecelaruan,
kebuasan dan kecuaian pemerintah ketika itu, kampung itu dilanggar
musibah. Ibrahim terbunuh bersama 13 lagi pejuang Memali. Manakala empat
anggota keselamatan juga turut terkorban. Beberapa orang terkena
tusukan guli dan libasan pedang. Empat pejuang cedera parah. Lebih 100
disumbat kedalam penjara. 36 lagi disimpan di Kem Tahanan Kamunting,
Taiping.
Tidak cukup dengan itu, seoarang saksi kejadian Idris
Husin sudah tidak boleh menjalani kehidupannya seperti biasa. Dia hilang
ingatan dan trauma tragedi masih terbayang. Idris tidak boleh mendengar
riuh rendah orang ramai, bunyi siren kereta peronda dan apa jua letupan
mahupun bunyian bising. Dia akan menggigil. Dia semakin menyendiri dan
beberapa tahun lalu, Idris pula menemui Illahi dalam keadaan menderita
sepi.
Lebih pilu dan sayu sepanjang hayat, peristiwa sedih itu
meninggalkan puluhan anak-anak yatim beserta balu-balu yang tidak sempat
meraih kasih mesra insan tersayang dan tercinta. Setiap hari bersulam
duka dan mendodoi anak-anak kecil, dengan zikir dan doa bertemu ayah di
syurga.
Tidak lama kemudian, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim sudi
mencemar duli, menyumbang 13 batu nisan secara peribadi dan menyirami
kubur yang penghuninya adalah rakyat jelatanya sendiri.
Di kaca
TV, satu rakaman ditayangkan di seluruh negara tentang kejadian itu.
Seorang bekas Menteri sedang menceritakan sesuatu yang tidak difahami
oleh seoarang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika itu.
Dia
sedang menonton bersama ayah, ibu dan adiknya yang sedang merengek
manja. Babak anggota keselamatan menembak seorang lelaki yang berdiri
tegak sambil menjulang senjata parang, terus mengejutkan budak itu
lantas bersuara.
"Ayah, kenapa pakcik tu kena tembak?" Lantas
ayahnya bingkas bangun masuk ke bilik tanpa sebarang kata. Dia melihat
ibunya pula, yang juga tidak bernada kecuali air mata yang berjurai
banyaknya.
Saya ketika itu tertanya-tanya dan 25 tahun kemudian
saya sudah berada di bumi Memali, mencari satu jawapan yang pasti.
Bersama rakan, Muhammad Zaki, kami berdua menjejaki pejuang Memali di
suatu pagi yang bening.
Sebenarnya, setelah diperkenalkan orang
kampung, kami menemui ramai pejuang Memali namun enggan ditemubual. Ada
yang cukup malu dan ada yang tidak mahu membuka luka lama. Sukar asalnya
hajat kami berdua untuk menyingkap kisah sejarah perjuangan orang
terdahulu. Bermula pagi, sehinggalah tengahari, barulah kami berdua
berjaya memujuk seorang pejuang Memali.
Beliau ialah Abdullah Che
Soh, yang terkena 7 das tembakan peluru hidup namun dizin Allah masih
bernyawa. Kini, Abdullah yang dikenali Pak Tam, 60 tunduk merenung
lantai, sambil mengamati semula satu persatu kisah sayu itu.
"Allah
telah mentakdirkan saya hidup untuk menceritakan semula kisah sedih ini
"Setelah cedera , saya di bawa ke hospital untuk dibedah. Tangan saya
masih bergari walaupun parah. Setelah dibedah, saya disumbat ke dalam
penjara selama lima bulan.
Kemudian, sambil tersenyum memandang
saya, sambil berkata tenang:"Saya tidak menyesal apa yang berlaku malah
bersyukur terpilih untuk terlibat dalam perjuangan ini,"katanya sambil
menunjukkan parut-parut di badan kesan tujuh tembakan peluru.
Itu
kisah Pak Tam. Dan banyak lagi cerita yang tak terungkap. Kajang kertas
ini tidak cukup menampungnya. Dari kisah semangat api yang tinggi,
sehinggalah cerita pedih di hati. Ada yang boleh dicebis tetapi banyak
yang terpaksa disisip rapat, agar fitnah yang sedang tidur tidak terus
bangkit. Namun bagi yang ingin menyusuri, datanglah ke bumi ini,
Pastinya tidak menghampakan. Hadirlah ke sini 18 November akan datang,
untuk lebih mengenali pejuang-pejuang dan kisah sejati di sini.
Kami
kemudian bersua dengan Timbalan Mudir Madrasah Islahiah Diniah Ustaz
Yusof Che Mit, antara yang begitu dikehendaki bersama Ustaz Ibrahim dan.
dia sebenarnya pada hari kejadian, berada di Kelantan.
Beliau
agak hairan mengapa Ibrahim ingin ditahan. Katanya dia seoarang yang
cukup dekat di hati masyarakat setempat. Sentiasa mengajar masyarakat
agar tauhid dan bertakwa kepada Allah melalui kuliahnya.
Boleh
bermain guli dengan sicomel kanak-kanak kampung atau sepak takraw
bersama para pemuda di Memali. Pengaruhnya yang besar telah melonjak
namanya dan juga PAS yang perjuangannya berlandaskan Islam.
Akibat
itu, cemburu membungkam mata, menutup kebenaran kata dan gerak gaya
lantas fitnah bermaharajalela menuduh As-syahid Ibrahim Libya pengganas,
penjenayah dan guru ajaran sesat yang perlu ditangkap. Dan ISA sentiasa
mengintai untuk menahannya dari sehari ke sehari.
Melihatkan
kepada latar belakangnya, agak aneh tuduhan yang dilemparkan. Bermula
dari pendidikan Islam asuhan ayahandanya Tuan Haji Mahmood seorang guru
agama yang disegani dan kemudiannya ke Madrasah Khairiah Pokok Sena.
Assyahid
meneruskan pengajian di Pusat Pengajian Tinggi di Nilam Puri untuk
beberapa tahun sebelum belayar ke Lucknow dan Durban, India mendalami
hadis. Beliau sempat berguru dengan tokoh ulama Islam tersohor di abad
ini iaitu Maulana Sayyid Abul Hassan Ali Nadwi. Assyahid berada selama
lebih kurang empat tahun di India sebelum melanjutkan pengajian ke
Azhar, Mesir kemudian menamatkan pengajiannya di Libya..As-syahid
kembali ke tanahair awal tahun 1970an, beliau berkhidmat di Jabatan
Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengarah di Institut Dakwah Islamiah
Malaysia. Sebagaimana telah dijangka bahawa assyahid tidak sanggup
berada lama di bawah ikatan pemerintah yang tidak berpaksi kepada
tuntutan agama, lalu meninggalkan segala kedudukannya untuk balik ke
kampung halaman mencurahkan bakti sebagai pendakwah, pendidik dan
bergerak aktif dalam politik Islam.
Dan selepas itu, sejarah
hitam membaluti Kampung Memali. Dan terkenang dan meninggalkan kesan
sehingga kini. Ibrahim syahid ketika mempertahan agama Allah.
Setelah
menemubual beberapa orang pejuang, saya dan Zaki melepaskan lelah di
sebuah warung di hujung kampung. Rupanya pemilik warung minuman yang
bersih itu, seorang wartawan sambilan Harakah era Memali dikenali
sebagai Tarmizi.
Beliau sempat bercerita tentang serban milik
Azmi yang pernah membalut tubuh Ustaz Ibrahim yang berlumuran darah
akibat tembakan peluru. Katanya lima bulan selepas kejadian, serban yang
itu mencebiskan bau yang cukup harum selama dua minggu sehingga ramai
yang datang melawat melihat kejadian aneh itu.
"Pergilah balik ke
rumah Azmi untuk lihat tinggalan sejarah....serban tu," katanya kepada
kami berdua yang kemudiannya tanpa lengah menuju semula ke rumah pemilik
serban itu.
Dan kira-kira jam 1.00 pagi, barulah Azmi
mengeluarkan serban yang sudah 25 tahun disimpan kemas tanpa dibasuh
darahnya yang kini masih jelas kelihatan. Setelah menemuduga tujuh saksi
sehingga jam 3.00 pagi, kami kemudian melabuhkan badan dan melelapkan
mata di bilik Madrasah tersebut, sambil diselimut sejuk malam.
Keesokan
paginya kami bertemu dengan Abdul Rahim yang membawa kami melihat
kesan-kesan lubang peluru yang menghujani sebuah pondok kecil yang
terletak dalam laman rumah arwah Ibrahim Libya.
Ketika itu balu
almarhum Hajjah Solehah tiada hanya tinggal anak lelaki as-syahid yang
membawa kami meninjau ke dalam rumah yang sudah diubah suai. Hanya
bahagian atas rumah, masih kekal seperti sedia kala, dan bayangan
huru-hara tembakan tak bermata dan laungan kalimah Allah, menerpa ke
fikiran tatkala saya memandangnya.
Pagi nan hening itu, kami
menyedut sedalam-dalamnya udara bersih laman, tempat berlakunya
bertempuran dan merenung sejenak, peristiwa tumpah darah yang tak
berjiwa itu. Sebak, tragedi 25 tahun ini masih membekas.
Ya, tidak
lama lagi, bermula 19 November akan datang, kawasan sekitar medan
tempur dan Kampung Memali ini akan kembali hiruk pikuk dengan sambutan
umat manusia.
Bukan lagi untuk mengadap atau mengharung hujan
peluru dan kepulan asap putih yang kemudiannya meragut nyawa, tetapi
riuh dengan kehadiran gelombang limpahan para pejuang taat setia kepada
perjuangan Islam.
Hadir dan datangnya mereka untuk mengutip kembali semangat yang bertebaran di bumi Memali untuk selama-lamanya.
Jangan
lupa untuk menjengah perkampungan sejarah ini pada 19 November ini
sempena Sambutan 25 tahun peristiwa Memali. Salam perjuangan!
Oleh : AZAMIN AMIN
No comments:
Post a Comment