SPIN MAT KUANTUM: ADA DR, TAK ADA KERJA! .
Foto ihsan Vicente Villamon Rezeki kadang-kadang di ladang ceri. Realiti hidup tidak selalunya indah, lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi lepasan universiti dan mencari kerja. Selalunya saya cerita yang indah-indah di luar negara, jarang mengenai kesusahan hidup. Alah bisa tegal biasa! Kerja pertama saya semasa belajar di Melbourne ialah jual sosej untuk cari duit tambahan kerana harga sewa rumah pada waktu itu sangat mahal, 700 AUD (RM2200). Saya bangun awal pagi untuk masak dan bungkus sosej (saya letak harga 2.50 AUD walaupun di cafe harganya 7 AUD). Saya hantar sosej itu ke Franktate Mosque di Melbourne University dan letak sebuah bekas plastic kosong untuk mereka bayar dan letak duit. Selepas itu saya terus ke kuliah dan tutorial. Tengah hari saya datang semula ke Franktate Mosque untuk solat Zohor dan kutip duit jualan sosej. Petang bila habis kuliah, saya datang untuk solat Asar dan kutip sosej serta duit untuk dibawa pulang ke rumah. Yang ambil sosej tetapi tidak bayar pun ada. Geram sungguh saya ! Tetapi saya tidak tahu siapa yang tidak bayar. Yang paling saya terkilan ialah setelah saya periksa cheese yang saya letak dalam sosej itu, rupa-rupanya ia tidak halal. Pada masa itu saya menyesal sebab percaya kepada budak-budak usrah yang cakap sosej itu halal. Sejak hari itu, saya meragui budak-budak usrah kerana mereka gagal kemas-kini pengetahuan semasa termasuk hal halal dan haram. Pada musim panas, saya bekerja sebagai pemetik ceri di ladang Old Oak Orchard di Lilydale. Awal pagi sesudah subuh (jam 4:30 pagi) dan makan, saya mula bekerja memetik ceri pada pukul 6:30-7:00 pagi. Pukul 5:30 petang apabila Richard datang untuk kutip hasil terakhir, saya berhenti. Kemudian pada waktu malam pula, saya lipat kotak bekas ceri mulai jam 7:30 hingga 11 malam. Upah untuk satu kota seingat saya ialah 15 sen, dan satu malam saya boleh lipat beratus-ratus kotak. Saya tinggal di pondok usang yang disediakan oleh Richard. Pukul 12 malam tidur, pukul 4:30 pagi bangun semula untuk kerja di ladang. Cuaca musim panas sangat terik dan cepat letih. Sebab itu saya ingin berhenti kerja setelah beberapa hari. Tetapi mujurlah gaji dibayar setiap minggu. Selepas melihat slip gaji untuk seminggu, saya tidak jadi berhenti. Bekerja sebagai pemetik ceri di bawah panas terik mentari, barulah saya faham kenapa buruh kasar dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh nekad mencari rezeki sebagai buruh di Malaysia. Pemetik ceri sama saja penatnya seperti buruh kasar. Kerana saya kerja dan tinggal di ladang, duit tidak banyak keluar, tersimpan rapi dalam bank. Musim ceri tidak lama. Selalunya sekitar Christmas Day, ceri sudah habis dipetik dari pohon ceri. Jadi, saya kerja di ladang ceri selama hampir 3 minggu. Dalam masa 3 minggu itu saya dapat kumpul sekitar 4,000 AUD (RM11,200). Hanya 3 minggu saja ! Itu kali pertama saya dapat dan pegang duit sebanyak itu. Dengan duit itu saya beli kereta Mitsubishi Mirage di Melbourne dengan harga 3,500 AUD (RM10,000). Terketar-ketar tangan saya pegang dan bawa duit itu ke kedai kereta (kerana takut hilang atau tercicir) dan bayar tunai untuk beli kereta. Dengan kereta itulah saya ke Sydney (hampir 800-1000 km), Great Ocean Rd, Mt Buller (main salji dan snowboarding) dan Philip Island (tengok kangaroo). Oleh kerana sistem pengangkutan awam di Melbourne sangat sistematik dan cekap, awal-awal tahun pengajian saya tidak beli kereta. Saya hanya beli kereta tahun terakhir di Melbourne. Kemudian, apabila sambung belajar di New Zealand, saya tidak bekerja sebab mahu fokus untuk habiskan PhD secepat mungkin. Tetapi ada hal yang menyebabkan elaun biasiswa saya dipotong (sebab tak dapat terbitkan manuskrip di ISI-cited journals), yang menjadikan kewangan saya terdesak. Lalu saya mencari kerja melalui teman serumah dan dapat kerja sebagai pencuci tandas, lantai, meja sepenuh masa dan sambilan. Kerja saya senang, pukul 5:30 petang datang ke tadika di Addington dan cuci dua bangunan tadika dalam masa 3 jam. Oleh sebab gaji dibayar hanya untuk 3 jam, maka kalau saya buat kerja lembap (lebih dari 3 jam), gaji saya tidak akan dibayar untuk lebihan masa seterusnya. Mula-mula bekerja agak susah, saya selalu lebih dari 3 jam, tetapi lama-kelamaan, saya hanya siapkan kerja dalam masa 2 jam 20 minit saja. Sebelum pukul 8 malam sudah habis kerja dalam pergi makan sebelum masuk semula ke makmal untuk sambung eksperimen. Gaji saya sejam ialah sekitar 13.50 NZD (RM33.75) selepas cukai dipotong. Jadi sehari saya dapat RM101.25 untuk kerja 2 jam 20 minit saja. Dengan duit gaji itulah saya bayar sewa rumah. Gaji dibayar setiap minggu pada hari Ahad. Sewa rumah seminggu ialah 140 NZD, dan gaji seminggu ialah 202.50 NZD. Lebihan duit gaji saya gunakan untuk beli makanan di luar setiap hari. Pada masa itu, saya rasa kerja sebagai cleaner adalah kerja yang paling elegant. Kerja singkat walaupun sakit badan, tetapi duit gaji banyak. Penghujung September 2014 selepas saya hantar thesis PhD ke Post-Grad Office, supervisor PhD saya suruh tinggal di New Zealand sementara menunggu viva voce. Dia suruh saya kerja sebagai cleaner secara full-time (sebab kerja sepenuh masa sebagai cleaner hanya 3 jam sehari) dan sambung eksperimen yang saya tak sempat buat semasa PhD. Tetapi saya berkeras untuk balik sebab saya rindukan nasi lemak, ais kacang, cendol pulut dan sebagainya. Susah mahu cari makanan itu di New Zealand. Selepas lulus viva voce dan dapat PhD, saya masih lagi tidak dapat mencari kerja. Saya hantar 52 permohonan ke serata dunia (Italy, Spain, Swiss, Australia, United Kingdom, Japan, South Korea) untuk memohon jawatan Post-Doc, tetapi semuanya ditolak. Mungkin penerbitan dan pengalaman saya kurang sesuai dengan bidang yang saya mohon walaupun Nanotechnology adalah hot area pada masa kini. Akhirnya saya memutuskan untuk cari kerja di dalam Malaysia saja. Saya hantar lebih dari 10 email tetapi semuanya jawab mereka tidak ada kerja kosong untuk saya. Kalaulah saya ikut cakap supervisor saya dan tinggal di New Zealand untuk kerja sebagai cleaner, sekurang-kurangnya saya ada pendapatan. Orang yang mula-mula sekali merespon email saya ialah seorang profesor di Jabatan Fizik, UM. Sekarang saya berkerja dengannya untuk kontrak selama 1 tahun. Selepas dapat kerja Post-Doctoral di UM, saya mendapat pula tawaran sebagi Post-Doctoral di Tsukuba University dan NIMS (National Institute of Materials Science) – supervisor PhD saya yang tolong carikan kerja ini. Hidup tidak semudah yang kita rancang sebab Tuhan juga Maha Merancang. Kalau di New Zealand, saya tak kisah untuk kerja sebagai cleaner walaupun ada di PhD. Ini perkara normal di Barat. Ada PhD bukannya kita dianggap lebih mulia dan sudah jadi dewa. Co-supervisor PhD saya contohnya, hanya bekerja sebagai technician (juruteknik) di universiti. Kawan sebelah makmal saya, bekerja sebagai guru tadika atau mungkin sekolah rendah walaupun ada PhD. Kawan di bawah makmal saya bekerja sebagai cashier dan tukang susun barang di supermarket di Bush Inn Corner walaupun ada Phd. Di Barat, apabila kita cakap tentang PhD, ia umpama kita bercakap tentang minum kopi setiap pagi. Terlalu biasa dan normal dalam perbicaraan. Ia bukan cerita tentang achievement (pencapaian), tetapi tentang pengalaman perjalanan kehidupan (pendidikan juga adalah sebahagian daripada kehidupan). PhD bukan sijil untuk diangkat menjadi mulia seperti dewa. Sebab itu di Barat, jarang mereka gunakan gelaran Dr. Apa yang menarik tentang PhD ialah ia umpama melawan raksaksa – raksasa itu ialah masa, supervisor, reviewers, examiners dan diri sendiri. Dan saya rasa senang hati apabila menang melawan raksaksa walaupun saya bukan Ultraman. Jangan takut jika tidak dapat kerja selepas mendapat ijazah sarjana muda – teruskan mencari kerja. Kami yang sudah dapat PhD dengan penerbitan yang bagus pun sukar untuk mencari kerja. Semua itu sebahagian daripada kehidupan. Yang penting, teruskan mencari dan belajar dari kehidupan.
No comments:
Post a Comment