Saya sambung lagi tentang isu
kelemahan bangsa Melayu yang mentadbir dan memerintah negara. Sesungguhnya
kepimpinan Melayu sememangnya sudah begitu menirus dan seolah-olah sudah tidak
wujud lagi kepimpinan dalam bangsa Melayu itu. Yang di maksudkan berkepimpinan ialah pemimpin yang mengambil tahu
dan mengiktiraf perjuangan sesuatu bangsa. Melalui parti-parti siasah mesti
mempunyai roh yang jati untuk meneruskan apa yang di sebut sebagai perjuangan.
Apa yang ada sekarang ini adalah
mereka-mereka yang menjadi ketua kepada parti politik tanpa mempunyai roh
perjuangan sebenarnya. Di dalam UMNO yang ada hanyalah ketua dan
pembantu-pembantu kepada ketua itu, tetapi seluruh barisan ketua-ketua ini
tiada berkepimpinan. Mereka ini menjadi ketua-ketua kerana permainan politik
yang tidak boleh membantu untuk menyuburkan perjuangan parti itu, mengikut asas
dan tujuan parti itu di tubuhkan dahulu.
Yang ada pada hari ini hanyalah
mereka yang hendak mendapatkan atau mempertahankan jawatan. Mereka tidak dapat
dan tidak mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan jawatan dengan
kewajipan-kewajipan mereka mengikut kehendak jawatan-jawatan yang mereka pegang
itu. Itulah sebabnya Naib-Naib Presiden UMNO itu contohnya tidak mempunyai
semangat perjuangan yang betul.
Jika mereka mempunyai semangat
itu masakan ada diantara yang sedang mempertahankan jawatan dan yang ingin
merebut jawatan itu bercakap dan berkempen mengikut rasa hati yang tidak
tenteram sehinggakan menggunakan isu rasis sebagai isu kempen mereka. Jika
benar mereka mempunyai semangat perjuangan seperti yang terkandung di dalam
BAB3 perlembagaan parti itu masakan mereka memainkan isu keselamatan seperti
bermain getah dan bermain guli sahaja.
Kalau tuduhan saya ini tidak
benar masakan ada slogan baru dalam kempen pemilihan ini yang kita dengar
seperti, ‘tembak dahulu’ sesiapa yang di syaki merbahaya kepada negara tanpa
usul periksa. Rasa tidak percaya kata-kata seperti ini boleh keluar dari
seorang pemimpin kanan yang sangat saya kenali sejak lebih dari 30 tahun
dahulu.
Kalau benar mereka ini seorang pemimpin
yang berjiwa besar, masakan ada calon peringkat Naib Presiden yang terlalu
‘emotional’ kerana kalah dalam pilihanraya kerana tidak mendapat sokongan kaum
Cina di Melaka. Kenapa salahkan kaum Cina sahaja sedangkan ramai dari kaum
Melayu sendiri menolak beliau? Kenapa hendak jadikan kaum Cina sebagai landasan
di atas kekalahan beliau dalam pilihanraya itu?
Tidak boleh kah berkempen untuk
mendapatkan undi dan sokongan dengan cara membuktikan keutuhan kepimpinan
masing-masing? Jika mereka mempunyai ‘benda’ untuk di tunjukkan bagi
meningkatkan sokongan, mereka tidak akan cuba berlagak ‘macho’ dengan
kata-kata garang dan hebat yang sebenarnya merupakan tempelan yang mudah
dilihat dan di saksikan oleh ramai.
Kekurangan atau tiada ‘finesse’
seperti seorang pemimpin itu membuatkan calon-calon Naib dalam pemilihan ini
sebagai pilihan hambar dan tidak mampu membawa apa-apa perubahan kepada parti
dan kerajaan. Amat susah untuk membuat pilihan, ibarat memilih diantara ikan
sembilang dan ikan keli sahaja. Rasanya lebih kurang sama. Hanyirnya pun lebih
kurang sama juga.
Hasil dari ucapan Zahid di Melaka
baru-baru ini maka kita akan mudah mengenali siapa yang menembak dan membunuh
tanpa sebab itu. Kalau dahulu sangat susah untuk mengenali siapa yang menembak
siapa, sekarang ini usaha mencari penembak itu mungkin lebih mudah lagi apabila
seorang menteri membenarkan pihak polis menembak sesiapa yang di anggap
penjenayah itu.
Niat Zahid untuk ‘tembak dahulu
kemudian bertanya’ itu mungkin tidak kesampaian jika mereka yang ditembak itu
mati sebelum sempat bertanya dan menyiasat. Mungkin itulah cara yang mereka
fikirkan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah penjenayah-penjenayah yang
ada, kerana kumpulan pemimpin hari ini hanya mengambil jalan mudah untuk nampak
bertindak menyelesaikan masalah keselamatan negara itu.
Mungkin tidak boleh di salahkan
Zahid kerana itulah setakat kemampuannya untuk penyelesaian masalah penjenayah
yang sangat ramai pada masa kini. Seseorang itu selalunya akan melakukan
setakat kemampuan peribadi pemimpin itu.
Tetapi blog ini ingin bertanya,
siapa yang dianggap penjenayah yang boleh ditembak dahulu baru bertanya itu?
Bagaimana dengan penjenayah rasuah? Ramai yang kita tahu pemimpin yang rasuah
tetapi tidak dapat di sabitkan perbuatan hina mereka itu. Adakah mereka ini
juga boleh ditembak dahulu baru bertanya. Bukankah perasuah itu juga adalah
penjenayah. Bezanya yang satu itu penjenayah kolar biru dan perasuah itu adalah
penjenayah kolar putih. Kedua-duanya adalah penjenayah kepada rakyat dan negara.
Kenapa hendak bezakan diantara
penjenayah kolar putih dan penjenayah kolar biru? Jika penjenayah kolar biru
seperti perompak hanya melibatkan orang dan keluarga yang dirompak itu sahaja,
tetapi penjenayah rasuah itu melibatkan hampir 30 juta rakyat Malaysia.
Bukankah rasuah itu lebih merbahaya kepada keselamatan negara. Banyak negara
telah menjadi lemah dan tidak selamat kehidupan di dalamnya kerana rasuah.
Perasuah dengan Botak Chin bukankah tiada bezannya? Bukankah kedua-duanya itu penyamun? Bahayanya pun sama, bukan gitu?
No comments:
Post a Comment