Tuesday, September 13, 2011

XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri Akhir : Dihina Sehingga Ke AKHIR HAYATNYA

Friday, September 9, 2011

Mat Indera Ditangkap Dan TERUS DIFITNAH

British terus meningkatkan propaganda buruk terhadap Mat Indera. Peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong digunakan sebaik mungkin oleh penjajah British untuk memburuk-burukkan Mat Indera. British sanggup menaikkan wang ganjaran untuk menangkap Mat Indera kepada $75,000 bagi menggambarkan Mat Indera adalah seorang yang sangat dikehendaki dan merbahaya. Kematian anggota Polis Bukit Kepung yang terdiri daripada bangsa Melayu dimanipulasi sebaik mungkin sehingga berjaya menarik simpati masyarakat Melayu.


Masjid Jamek Kg Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat.

Akhirnya penangkapan Mat Indera dirancang dengan penuh tipu helah. Lima lelaki Jawa Ponorogo yang diketuai Md Sham dan dibantu Ismail Mustakim (Misban), Wak Beladang, Mat Tukyo dan Bajuri menggunakan tipu helah untuk memberkas Mat Indera. Menurut Pak Johan, Mat Indera telah dijemput untuk menghadiri ke sebuah kenduri di rumah Wak Bladang oleh Mat Tukyo. Pada malam 14 Oktober 1952, Mat Indera telah hadir ke rumah Wak Bladang di Kg ParitWarijo, Seri Medan, bagi memenuhi permintaan sahabatnya dan dijamu dengan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dgn kecubung ungu. Kecubung ini telah menyebabkan seseorang itu berasa mengantuk dan dipukau jika meminumnya. Akhirnya Mat Indera berjaya ditangkap pada malam itu.

Tambah Pak Johan lagi, peristiwa penangkapan pada malam itu turut dijadikan modal oleh British untuk memburuk-burukkan Mat Indera. Mat Indera telah difitnah bahawa ia datang ke rumah Wak Bladang bukan kerana dijemput tetapi kerana tergila-gilakan seorang anak daranya. Begitulah kejinya perancangan British dan fitnah yang diatur semata-mata untuk memburukkan Mat Indera di mata masyarakat.

Itulah agaknya mengapa Bekas ketua kampung Parit Warijo, Malik Samuri sendiri mengakui di dalam laporan Berita Harian yang turut menyaksikan bagaimana Mat Indera dibawa dengan basikal sedang tangannya diikat daun lalang bahawa peristiwa itu telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di situ. Ada yang gembira dan ada yang sebak.

Mohd Abidin Ismail iaitu anak salah seorang yang menangkap Mat Indera, Misban, berkata meskipun terbabit secara langsung dalam tipu helah itu, sepanjang hidup ayahnya tidak pernah menyatakan kebanggaan atas kejayaan itu, malah tidak sesekali melabelkan Mat Indera sebagai petualang.



Mat Indera MELUDAH Polis British Ketika Dipenjara

Pak Johan dan bapanya pernah melawat Mat Indera di Penjara Air Molek, Johor Bahru. Pak Johan menyaksikan sendiri peribadi Mat Indera yang begitu bencikan Polis British dan berani meludah mereka ketika di dalam penjara. Pada pertemuan inilah Mat Indera menegaskan bahawa dia bukan komunis. Walaupun Mat Indera dipujuk supaya bertolak ansur dengan British sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera yang tidak mahu tuduk dengan British di atas penglibatannya.

Itulah pertemuan terakhir antara mereka tiga beranak. Mereka kemudian mendengar perkhabaran Mat Indera telah dijatuhkan hukuman gantung hanya melalui akhbar sehari selepas itu. Apa yang Pak Johan dan bapanya amat terkilan, mereka tidak dimaklumkan sebelum Mat Indera dijatuhkan hukuman.


Misteri WASIAT Kematian Mat Indera

Muhammad Indera kemudiannya menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak. Keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping. Pak Johan dan bapanya tidak sempat ke Perak untuk melihat jenazah Mat Indera buat kali terakhir. Ketika ditanya kepada pihak Polis dan Penjara, mengapa mereka sebagai waris terdekat Mat Indera tidak dimaklumkan tarikh dan masa hukuman gantung akan dijalankan sedangkan mereka tahu alamat mereka di Singapura. Pihak Polis hanya berkata mereka berhak menjalankan hukuman tanpa memaklumkan kepada waris. Inilah yang amat menyedihkan Pak Johan dan bapanya Indera. Apa yang meragukan mereka, Polis menggunakan alasan bahawa Mat Indera telah berwasiat untuk mengebumikan jasadnya sebaik saja beliau meninggal dunia. Bagaimanapun alasan WASIAT ini tidak dapat diterima oleh Pak Johan dan bapanya.



Tidak cukup sekadar itu, kematian Mat Indera turut difitnah oleh British. Jasadnya dikuburkan berasingan dari kubur orang Islam yang lain. Walaupun jasadnya dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Jambu Air, Taiping, namun ia dikeluarkan kira-kira jarak serantai dari Tanah Perkuburan tersebut. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan bagi menunjukkan Mat Indera tidak layak dikebumikan bersama kubur yang lain kerana ia seorang komunis. Bagaimanapun pada masa ini, Tanah Perkuburan itu sudah penuh sehingga ke kubur Mat Indera, jadi kesannya tidak dapat dilihat pada hari ini.

Begitulah hinanya British dan sekutunya menghinakan arwah Mat Indera. Sejak dari hayatnya sehinggalah kepada kematiannya ia terus difitnah. Selepas sehari suntuk mencari maklumat bersama SAMM tentang Mat Indera ini, saya bawakan kepada anda 1-5 siri yang saya kumpulkan daripada temubual bersama Pak Johan (adik Mat Indera), Pak Yahya (adik Pak Sanib), Awang (anak Pak Yahya) dan beberapa penduduk kampung di Bukit Kepong, Jeram Masjid hinggalah ke Seri Medan. Jika ada penambah baikan dalam penulisan ini amat dialu-alukan.

Diharap kepada pembaca generasi Y supaya dapat menilai penulisan ini untuk rujukan sejarah pada masa akan datang dan tidak hanya berdasarkan hanya kepada satu sumber semata-mata. Sekian.

Kenangan bersama Pak Johan, Pengerusi SAMM Chegu Bard, Sidiqin wartawan Suara Keadilan dan adik-beradik SAMM.

No comments: