Saturday, February 7, 2009

PERAK - Retak Menanti Belah - Mahaintua

PERAK – Retak Membawa Belah
Oleh Marhaintua - - Laman M@RHAEN


Sejak kerajaan Gagasan Pakatan Rakyat pimpinan Ir. Nizar bertakhta di Perak, ada sahaja berita sensasi yang tersebar luas merata negeri dan Negara. Betapa pun kerajaan ini berfungsi, ia semacam rapuh sahaja, seolah-olah banyak sangat yang tidak kena dengan kepimpinan parti-parti komponen apa yang satu ketika dahulu terkenal dengan panggilan Barisan Alternatif. Sejak gagasan itu berjaya mengambil-alih pucuk kepimpinan kerajaan daripada Barisan Nasional, banyak sensasi politik yang tersebar itu memberikan gambaran betapa tidak wujud kestabilan politik di negeri tersebut.

Kepimpinan Nizar bermula setelah Pakatan Rakyat menang tipis dalam pilihan raya umum Mach 2008, Ir. Nizar naik menjadi Menteri Besar Perak setelah tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pimpinan Tajol Rosli. Walaupun BN kalah, Tajol Rosli masih cuba menumbangkan kerajaan PR dengan berusaha merampas majoriti suara di Dewan Undangan Negeri dengan pelbagai helah politik. Tajol Rosli pernah bersuara lantang meramalkan kerajaan pimpinan Nizar bakal tumbang menjelang Ogos 31 2008. Tentulah congak Tajol ketika itu mahu merampas pucuk kepimpinan negeri dengan mengusahakan proses lompat parti di kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri daripada kalangan Pakatan Rakyat agar melompat menganggotai UMNO. Sekali gus UMNO dapat kerusi majoriti dan mampu menubuhkan satu kerajaan baru dengan dokongan parti komponen Barisan Nasional yang lain.

Memang menarik rencana Tajol Rosli ketika itu, kerana dia masih mempunyai pengaruh di Perak. Sebagai bekas Menteri Besar dia masih menjadi Ketua Perhubungan UMNO Perak, sehinggalah dia melepaskan jawatan itu beberapa hari yang lalu untuk digantikan oleh Bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Kalau diambil kira usaha gigih Tajol Rosli sejak BN kalah di Perak, kita memang boleh bersimpati dengan beliau. Hampir setahun, dia telah berusaha mendapatkan kembali semula kontrak kerajaan negeri yang pernah dikurniakannya kepada orang-orang BN ketika dia berkuasa dahulu, untuk diusahakan oleh beberapa orang pilihan beliau sebagai subkontraktor. Dia pungut komisen sahaja daripada kerja kontrak itu untuk menggunakan dana yang diperlukannya bagi mengongkosi rencana merampas Perak daripada Pakatan Rakyat. Kebanyakan kerja-kerja subkontrak yang diusahakannya adalah kerja-kerja kecilan seperti ‘potong rumput’, ‘angkut sampah’ dan ‘mencuci parit dan longkang’. Demikianlah jalan cerita hukum karma. Apabila terdesak dan tertekan, seseorang yang pernah memegang jawatan besar sanggup menjalankan perniagaan kecil asalkan dapat mencapai matlamat politiknya yang sempit.

Sepatutnya Tajol lupakan dunia politik dan menghabiskan sisa-sisa hidup untuk menikmati kekayaan yang telah dibalunnya selama ini termasuk segala harta peninggalan ayahnya Almarhum Ghazali Jawi, satu ketika dahulu.

Kenapa Politik Perak Sentiasa Bergelora

Di atas kertas, politik Perak memang ternyata tidak stabil. Ada sahaja berita yang memberi gambaran betapa rapuhnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Ir. Nizar. Soalnya sekarang, apakah benar berita itu ataupun ia merupakan satu rencana maklumat songsang pihak Barisan Nasional yang berusaha mahu merampas kembali pucuk kepimpinan kerajaan Perak.

Sesungguhnya kerapuhan keadaan politik Perak bolehlah dirumuskan kerana beberapa faktor seperti di bawah ini:

a) Kehebatan strategi maklumat songsang Barisan Nasional dan UMNO
b) Ideologi Politik parti komponen gagasan Parti Rakyat;
c) Impian Politik Anwar Ibrahim yang terlalu menjurus ke arah Putrajaya;
d) Arus Amalan Korupsi BN yang masih berterusan;
e) Peranan istana Perak yang masih sayangkan Barisan Nasional;
f) Sikap rakyat yang meremehkan mainan orang politik.


Rakyat Perak khususnya tentu masih ingat betapa Tajol Rosli membuat ikrar mahu merampas kembali tampuk kepimpinan kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat menjelang Ogos 31 2008. Itulah ikrar yang dibuatnya selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 2008. Keazaman Tajol adalah dirangsang oleh angan-angan yang dia mampu membeli sekurang-kurangnya tiga orang wakil rakyat Perak dalam Dewan Undangan Negeri agar melompat parti dan dengan demikian membolehkan BN memiliki kuasa ‘simple majority’ di dewan itu. Wakil rakyat PR yang menjadi sasaran Tajol adalah mereka yang bernama YB Jamaluddin Mat Radzi, ADUN Behrang, dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu dan seorang ADUN DAP yang difikirkan mudah dibelinya.. Pada waktu itu BN mempunyai 28 kerusi dan PR memiliki 31 kerusi. Kalau tiga orang Pakatan Rakyat melompat parti kerusi BN boleh menjadi 31 dan PR merosot menjadi 28 pula.

Congakan Tajol Rosli tidak menjadi kerana beliau kekurangan karisma untuk mempengaruhi tiga orang wakil rakyat PR yang ketika itu masih baru di tampuk kuasa dan masih “malu-malu” dengan para pengundi yang telah memberikan kepercayaan untuk menjadikan mereka wakil rakyat,

Hampir satu tahun berlalu, politik Perak sudah banyak berubah. Dua ADUN yang disebut itu sudahpun mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas. Tajol Rosli yang satu ketika dahulu merupakan Ketua Perhubungan UMNO kini sudah pun melepaskan jawatan itu kerana kecewa dan tugas beliau telah diambil-alih oleh Najib Tun Razak.

Politik Perak terus bergelora. Krisis yang mula retak menunggu belah kini menjadi satu kemelut di mana yang retak memang membawa belah.

Tindakan Tajol adalah satu kekecewaan yang amat sangat setelah seorang ADUN UMNO melompat parti dan menganggotai Parti Keadilan Rakyat, Ahad lalu ADUN Bota, Nasaruddin Hashim telah belot dan lompat menyertai PKR sekali gus kerusi kerajaan negeri bertambah kukuh menjadi 32 berbanding 27 yang dimiliki oleh BN.

Sesungguhnya apa yang terjadi kepada BN Perak dan UMNO adalah satu gambaran betapa hebatnya strategi maklumat songsang BN dan UMNO di Perak sehinggakan membawa padah menikam diri sendiri. Tajol naik melonjak dalam persada politik Perak gara-gara sifat cantas-mencantas di kalangan UMNO Perak yang memang amat kejam dan sungguh aktif. Inilah mainan politik yang menumbangkan Dr. Fadhil Che Wan, Ramli Ngah Talib, almarhum Megat Joned, Aziz Samsudin - sekadar menyebut segelintir nama sebagai kenangan.

Apabila UMNO kalah tampuk kepimpinan kerajaan di Perak, jentera maklumat songsang yang cuba menjatuhkan kerajaan PR yang diterajui oleh Ir. Nizar turut digunakan untuk mencantas beberapa tokoh UMNO di Perak. Ini berpunca daripada tipu helah politik yang dimainkan oleh Zahid Hamidi yang mahu menjadi panglima perang UMNO Perak yang baru, dan tipu helah politik yang disebabkan oleh Khairy Jamaludin yang bercanggah dengan kerakusan nafsu politik Hishamuddin Hussein yang bakal melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO tidak lama lagi.

Apa pun strategi maklumat songsang yang dimainkan oleh UMNO dengan tujuan menjatuhkan kerajaan PR di Perak, jentera mainan kotor itu turut bercelaru kerana disulam dengan mainan politik kotor di kalangan pemimpin UMNO itu sendiri yang berlumba-lumba mahukan jawatan dalam pucuk kepimpinan UMNO pusat.

Kehebatan strategi maklumat songsang UMNO Perak turut diperkukuh oleh percanggahan dalam ideologi politik parti komponen Pakatan Rakyat. Bukanlah besar sangat perbezaan ideologi itu yang boleh melumpuhkan Pakatan, tetapi yang menjadi penghalang besar dalam kerukunan Pakatan ialah kurangnya sifat tolak-ansur di kalangan pemimpin parti komponen itu untuk menangani isu yang sentiasa dibangkitkan oleh pihak lawan.

Sebagai contoh, UMNO dan BN selalu bangkitkan isu Hukum Hudud dan besarkan sikap Pengerusi DAP yang mengugut mahu keluar daripada pakatan PR seandainya PAS perkenalkan Hukum Hudud. Sebenarnya Karpal Singh bukanlah beria-ia sangat dengan isu Hukum Hudud itu. Yang beria-ia sangat ialah UMNO yang mahu mengkucar-kacirkan keadaan. Haji Hadi Awang sendiri sudahpun memberi penjelasan kepada Karpal Singh sehingga beliau faham bahawa Hukum Hudud hanya melibatkan orang Islam dan tidak menjejaskan orang bukan Islam.

Beberapa bulan yang lalu UMNO bangkitkan isu Ir. Nizar memberikan tanah seluas satu ribu ekar kepada sekolah-sekolah Cina di Perak. Seluruh negara menjadi kecoh seolah-olah Ir. Nizar menganaktirikan orang Melayu. Sebenarnya Ir. Nizar turut memberikan tanah yang luas kepada Sekolah Agama Rakyat di negeri itu. Keluasan yang diberikan adalah lebih besar berbanding keluasan yang diberikan kepada sekolah-sekolah Cina. Rakyat marhaen tidak tahu sangat cerita sebenar kerana lemahnya jentera penyebaran maklumat kerajaan PR di Perak dan di kalangan pucuk kepimpinan PR pada amnya. Sepatutnya rakyat marhaen diberitahu bahawa Ir. Nizar memberi nafas baru kepada semua sekolah Agama Rakyat yang satu ketika dahulu diarah tutup oleh Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Strategi Ir. Nizar ialah membolehkan setiap sekolah yang diberikan tanah itu membangun dengan sendiri tanpa menagih bantuan daripada kerajaan Perak lagi, setiap tahun. Ini adalah satu strategi yang amat bijak dan berwawasan besar. Inilah satu strategi yang pernah dilakar oleh Kerajaan Amerika semasa menubuhkan ‘State Universities’ yang membolehkan universiti di Amerika membangun dan membesar menjadi universiti ternama seluruh dunia. Soalnya kenapakah ahli-ahli UMNO tidak bincangkan tindakan Mahathir memfaraidkan beberapa tapak sekolah ternama di Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang Girls School
kepada beberapa orang kroni untuk mereka bina bangunan tinggi-tinggi dan menjadi terus kaya-raya.

Bagaimana pula kisah seorang Datuk UMNO yang satu ketika dahulu menjadi tukang engsot get keretapi boleh menggunakan lapan lot tanah rumah murah untuk membina istananya di Selangor? Bagaimana pula kisah seorang Datuk UMNO yang naik kaya raya dan mati secara tiba-tiba kerana dibunuh di Selangor tetapi dikatakan telah mati kerana penyakit lemah jantung?

Kehebatan maklumat songsang UMNO mudah dipercayai oleh rakyat marhaen kerana sudah menjadi amalan biasa mereka mudah terpengaruh kepada maklumat songsang itu. Sudah berdekad rakyat marhaen terutama sekali orang Melayu disogokkan dengan amalan hidup mudah dengan maklumat songsang tanpa mahu mempersoal apakah benar maklumat yang mereka dengar dan terima. Sebagai contoh, semalam Najib buat pengumuman yang kerajaan BN akan ditubuhkan di Perak. Bagaimana mungkin Najib boleh buat pengumuman itu sedangkan Dewan Undangan Negeri tidak pun bersidang dan tidak ada pungutan suara terhadap usul undi tidak percaya terhadap kerajaan yang memerintah? Ini bererti Najib sudah mendahului undang-undang. Sikap Najib itu memang bukan perkara baru kerana ini sudah menjadi amalan pemimpin BN dan UMNO.

Sekali lagi pemimpin UMNO main kotor dan sekali lagi rakyat marhaen buat tidak peduli dengan sogokan maklumat kotor itu.

Disebabkan ideologi parti komponen Pakatan Rakyat yang tidak sekata inilah membuatkan UMNO terus mempunyai selera mencetuskan isu yang dapat mengkucar-kacirkan pakatan tersebut. Antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), saya dapati Keadilan merupakan sebuah parti yang amat lemah baik daripada segi ideologi yang jelas mahupun daripada segi lakaran strategi untuk berkembang pesat. Itu sebabnya UMNO khususnya dan BN amnya masih mampu menyindir Keadilan sebagai sebuah parti yang wujud kerana dendam kesumat dan kerana Anwar Ibrahim terlalu bernafsu mahu menjadi seorang Perdana Menteri dan menguasai Putrajaya.

Memang kita akui bahawa Keadilan muncul mendadak berasaskan ‘HARAPAN’. Rakyat marhaen daripada segenap lapisan masyarakat dan tidak kira anutan agama, dan perkauman yang telah memberikan sokongan kuat terhadap Keadilan kerana mereka terlalu mengharap mahukan Anwar Ibrahim melakukan perubahan dalam iklim politik di negara ini. Harapan itu memuncak setelah melihat betapa kerajaan BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi tidak mampu membawa perubahan kepada corak kepimpinan negara yang mengalami pelbagai kemelut kegawatan selepas ditinggalkan oleh Mahathir Mohammad. Sekali gus rakyat marhaen men jadi mangsa kepada kegawatan gara-gara pembaziran pemerintahan Mahathir dahulu.

Anwar Ibrahim telah menjanjikan perubahan melalui Pakatan Rakyat. Walaupun pada awalnya Pakatan Rakyat dipimpin oleh isteri beliau Dr. Wan Azizah di Parlimen dan lima buah negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, harapan rakyat terus membara sehingga Anwar Ibrahim menang besar di pilihan raya kecil Permatang Pauh selepas isteri beliau turun takhta memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Secara peribadi saya pernah berkata satu ketika dahulu bahawa Anwar Ibrahim tidak perlu bertanding sehingga menyebabkan si isteri melepaskan jawatan beliau. Semasa itu saya berada di hospital Bandar Baru Kulim dan memantau pergerakan kawan-kawan kempen politik yang turut ghairah mahukan Anwar Ibrahim menang. Saya tetap berpegang kepada pendapat awal yang mengatakan bahawa laluan Anwar ke Putrajaya adalah amat sukar. Malahan dalam satu emel saya kepada YB Nurul Izzah satu ketika semasa beliau masih menjadi seorang penuntut di Amerika saya pernah menulis bahawa yang saya nampak akan menjadi Perdana Menteri Malaysia bukanlah Anwar tetapi Nurul Izzah sendiri. Marilah kita saksikan peredaran masa menentukannya.

Kita harus ingat bahawa Anwar Ibrahim dan politiknya adalah kesan didikan orang yang saya pernah beri gelaran sebagai TKT Mahathir. Gelaran itu menciplak imbasan buku “SHIT” tulisan Shahnon Ahmad yang merumuskan selagi kepala taik tidak keluar daripada usus, si empunya usus akan terus mengeluarkan kentut busuk Malahan, isteri saya pernah berkata kentut busuk yang berlebihan akan menyebabkan taik tersimpan berpanjangan yang boleh menyebabkan barah. .

Dalam kemelut kegawatan ekonomi negara dan politik tanah air sekarang, kita lihat si TKT Mahathir masih bercakap bebas apa yang dia suka. Tidak sekali pun dia mahu mengaku secara lantang akan kesilapannya membazirkan wang rakyat selama 22 tahun dia mencengkam kuasa. Dia hanya mahu mengaku tersilap memilih penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi. Sejurus dia memilih Abdullah Ahmad Badawi dia bertegas mahukan Abdullah melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila Abdullah sengaja melengahkan pengumuman nama Najib sebagai Timbalannya, TKT Mahathir telah bertindak membuat pengumuman itu mendahului hasrat Abdullah. Tidak lama kemudian, Mahathir telah membuat pengumuman bahawa Najib pun tidak berapa sesuai untuk menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2009.

Sikap Mahathir yang merendah-rendahkan wibawa Abdullah dan Najib sebagai Perdana Menteri telah menyemarakkan semangat Anwar untuk mempercepatkan langkahnya menuju Putrajaya. Anwar terlalu rakus dalam usaha itu tanpa memikirkan kepuasannya untuk bertahan lama dalam penghijrahan tersebut. Sekali gus Anwar telah melunturkan semangat dan harapan rakyat marhaen terhadap beliau.

Tentu ramai pembaca yang tidak bersetuju dengan saya dalam hal ini. Mereka mahukan Anwar cepat memegang tampuk kerajaan dan bertakhta di Putrajaya. Tetapi saya ingin mengingatkan mereka agar berwaspada. Anwar sebenarnya lemah dalam melakar strategi menuju ke Putrajaya. Dia terlalu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri sehinggakan dia lupa strategi politik yang boleh memantapkan kedudukannya.

Kita boleh bincang hal ini panjang lebar tetapi ini bukan masanya yang sesuai. Tetapi memadailah saya katakan sekali lagi bahawa Anwar Ibrahim sesungguhnya sedang berperang dengan diri sendiri dalam membuka laluan ke Putrajaya. Dia berperang dengan diri yang beriman dengan diri yang semakin rakus dan tidak sabar kerana jolokan puji-puja para penjilat yang mahukan dia cepat ke Putrajaya. Cuba tanya Anwar Ibrahim, sejak dia menang di Permatang Pauh dan menerajui Keadilan secara mutlak, berapa banyakkah cawangan dan bahagian Keadilan yang ditubuhkan di merata negara? Di negeri Selangor sendiri di mana pucuk kepimpinan kerajaan adalah pemimpin Keadilan kenapakah lebih banyak cawangan PAS yang tumbuh? Kenapakah Datuk Zahar Hashim yang pernah belajar sama kolej di Maktab Melayu dengan Anwar boleh meninggalkan UMNO untuk masuk PAS? Zahar Hashim Bana adalah anak Kajang dan sudah masak dengan politik Melayu setelah melihatkan politik Melayu berkembang di Kampung Baru di mana datuknya Haji Bachik menetap satu ketika dahulu.

Apabila dua orang ADUN Keadilan melompat parti, cerita di sebalik tabir mengatakan mereka terlibat dengan pelbagai tuduhan rasuah. Anwar Ibrahim sudah lama mengetahui kisah rasuah orang-orang ini. Terutama sekali kisah YBJ yang begitu gelojoh membalun harta dunia sehinggakan kereta ‘Camry’ beliau tidak dipandu oleh supir kerajaan tetapi oleh seorang balaci khas pilihan sendiri yang diberi tugas untuk kutip imbuhan. Akronim YBJ adalah kod Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap YB Jamaluddin, 52, bekas seorang posmen yang naik melonjak sehingga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan. Osman Jailu 57, pula adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

YBJ terkenal dengan kerakusannya. Beberapa pelabur luar Perak telah datang menemui beliau mahu melabur di negeri itu. Selepas pertemuan pertama, ramai yang tidak ingin datang sekali lagi untuk memeterai perjanjian dengan kerajaan Perak. Kenapa? Kerana setiap kali selesai pertemuan pertama si YBJ akan bertanya “Berapa agaknya komisen untuk saya?” Anwar Ibrahim tahu cerita ini. Ada kawan-kawan yang merakamkan suara YBJ dengan soalan demikian. Tentu Anwar Ibrahim pernah mendengarnya. Tentu orang-orang yang g rapat dengan beliau seperti “Alyusuf” pernah membisikkan perkara ini ke telinga beliau. Apakah Anwar pernah memanggil orang-orang ini dan menasihatkan mereka berhati-hati dengan nafsu gelojoh?

Sesungguhnya perangai wakil rakyat Keadilan semacam ini tidak terhad di Perak. Di negeri lain seperti Kedah, perkara yang sama berlaku juga. Ada wakil rakyat Keadilan di Kedah yang tidak sentiasa berada di mukim pilihan rayanya (constituency). Ada yang berulang-alik daripada Kuala Lumpur dengan Bas Ekspres sekali sekala dan menyerahkan tugas mendengar rintihan rakyat kepada wakil sahaja. Bila ditanya oleh pengundi dia akan jawab sedang sibuk kerana menemani Anwar Ibrahim. Dengan lain perkataan, wakil rakyat ini sengaja menjual nama Anwar Ibrahim untuk membuat kerja lain di luar tugasnya sebagai wakil rakyat.

Ironisnya Anwar Ibrahim suka sangat dengan posmen untuk menjadi wakil rakyat Parti Keadilan. Tentu Anwar mempunyai rahsia besar bagaimana tukang hantar surat boleh menjadi wakil rakyat yang cekap. Kalau diteliti prestasi YBJ setakat ini memang tidak ada sesuatu yang unik dalam peranan beliau sebagai wakil rakyat. Yang nyata beliau menang pilihan raya kerana para pengundi menolak calon Tajol Rosli sebagai wakil UMNO dalam pilihan raya lalu. Itu sahaja. Anwar pula terlalu berpaut dengan individu yang ada kaitan dengan beliau semasa memimpin ABIM dahulu.

Dengan kata mudah, disebabkan terlalu rakus mahu mencengkam kuasa di Putrajaya, Anwar sudah alpa dengan peranannya untuk mengukuhkan kubu dan kota Keadilan. Dia banyak bergantung kepada ‘kawan lama’ dalam ABIM untuk mengukuhkan kedudukannya sedangkan penyokong besar Keadilan bukannya orang yang pernah menganggotai ABIM. Apabila terlalu kerap alpa, Anwar banyak buat silap dan ini menyebabkan marhaen menyoal beliau baik secara terus ataupun melalui proksi dan SMS. Ini menyebabkan Anwar naik angin dan melatah. Ini juga menyebabkan beliau menjawab “Satu orang pergi dua ratus yang akan datang sebagai ganti”. Saya kata dengan terus terang; jawapan Anwar semacam itu adalah sifat riak dan takabbur yang tidak boleh dituturkan oleh seorang pemimpin marhaen. Jelas sekarang Anwar harus belajar proses mendelegasikan tugas kepada orang yang boleh dipercayai dan orang yang sudah lama diuji (tested and trusted).

Saya pernah berkata bahawa dalam hidupnya Anwar Ibrahim amat bertuah kerana kerap disertai Allah terhadap apa sahaja yang dibuatnya. Dia melonjak menjadi ketua pelajar universiti dahulu dan naik mengharum dengan peristiwa Baling. Kemudian dia mengharum lagi apabila memimpin ABIM sehingga dipancing untuk menganggotai UMNO oleh Mahathir. Dari situ dia terus melonjak naik sehingga menjadi orang nombor dua yang menerajui negara.

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri Anwar pernah melalui satu episod hitam dalam hidupnya kerana ditohmah melakukan sodomi dan korupsi. Dia dipenjarakan selama lebih enam tahun sehingga para konspirator menjangkakan Anwar akan pupus dan menghilang sebaik keluar daripada penjara. Sebaliknya para konspirator yang menanggung aib dalam hidup mereka. Termasuklah raja segala konspirator itu yang bernama TKT Mahathir, yang kini menghabiskan sisa-sisa hidupnya laksana kucing dilanda kurap.

Anwar naik semula di persada politik sehingga menjadi Ketua pihak pembangkang. Tetapi dia tersasar agenda gara-gara nasihat longgar yang diberikan oleh para juak dan penjilat. Namun, krisis politik Perak akan menjadi satu ujian besar yang sepatutnya menyedarkan Anwar Ibrahim. Dia perlu berkampung di Perak untuk kali ini dan menangani krisis yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya sudah lebih empat bulan Anwar diberikan nasihat oleh orang yang benar-benar mahu melihat kejayaan Kerajaan PKR di Perak, bahawasanya keadaan PKR di situ amat rapuh. Bayangkan apa yang berlaku sekarang. Tiga orang anggota Pakatan yang berpaling tadah itu adalah individu yang memerlukan wang untuk terus hidup bergaya. Wakil DAP yang menjadi ADUN Jelapang, sebenarnya bekas ahli MCA yang berstatus OKU. Dia bergerak dengan kerusi roda, tentunya amat mudah untuk dipancing Najib dengan wang ringgit dan imbuhan yang lumayan. YBJ adalah seorang bekas posmen yang sebelum itu adalah seorang peon ataupun budak pejabat di pejabat kerajaan Perak. Osman Jailu adalah bekas pegawai tentera yang tentunya mengimpikan hidup senang lenang yang memerlukan belanja besar dan harta yang lumayan. Ketiga-tiga manusia ini memang amat mudah dipancing dengan upahan duniawi yang lumayan.

Anwar Ibrahim tahu semua cerita ini tetapi dia alpa dan lalai sehingga menyebabkan dia melatah. Dalam dunia politik kalau kita mahu menjadi seorang pemimpin yang berjaya kita tidak boleh alpa dan lupa. Apabila Anwar ditanya oleh media tentang wakil rakyat PKR yang menghilang dia telah menjawab: “Ah....satu hilang dua ratus lagi yang akan datang...” MasyaAllah....... Anwar sudah lupa daratan ke????

Allah Maha Berkuasa. Krisis Perak akan menyerlahkan ketokohaan dua orang pemimpin politik bernama Anwar Ibrahim dan Najib. Semalam Najib sudah membuat pengumuman betapa BN mahu menubuhkan satu kerajaan baru di Perak. Pagi tadi dia telah pergi menghadap Sultan untuk membuat urusan itu. Menjelang lapan malam 5 Februari, 2009. laporan berita TV 1 Studio Lima (5), Najib sudah mengumumkan yang Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sudahpun masuk menghadap Sultan Perak mengenai pembentukan sebuah kerajaan baru pimpinan BN.

Berita itu tentunya diterima oleh rakyat Perak dengan penuh kecewa. Sekali gus, pihak istana membuka mata rakyat bahawa Sultan sudah memihak kepada BN dan tidak membiarkan proses undang-undang memainkan peranan yang sepatutnya.

Penglibatan Sultan yang memerintah Ir. Nizar meletakkan jawatan walaupun Ir. Nizar meminta restu baginda agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan, telah menggemparkan suasana.. Baginda Sultan membuat keputusan bahawa Ir. Nizar sudah tidak mendapat kepercayaan sebahagian besar ahli dewan untuk terus menjadi Menteri Besar.

Semalam, saya ada menjawab beberapa soalan yang dikirimkan kawan-kawan dan peminat tulisan saya dengan berkata bahawa pada kali ini krisis politik Perak akan membogelkan kewibawaan Sultan Perak juga. Pada waktu yang sama, tentu kita mahu tahu apakah Sultan akan menarik balik gelaran Datuk Seri yang dikurniakan baginda ke atas Ir. Nizar? Sama-sama kita akan kupas perkara ini nanti.

.......bersambung

Marhaintua
06. Februari, 2009.

No comments: